Pulau Pinang Catat Kerugian RM112.9 Juta Akibat Jenayah Siber - Polis

18/07/2025 06:40 PM

GEORGE TOWN, 18 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang merekodkan kerugian melebihi RM112.9 juta akibat jenayah siber membabitkan penipuan kewangan dalam talian bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata jumlah kerugian itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM42.9 juta berbanding RM70.1 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.

“Bagi tempoh Januari hingga semalam, polis Pulau Pinang berjaya melaksanakan lapan serbuan ke atas sindiket pusat panggilan dan menahan 75 individu termasuk 24 wanita, terdiri daripada 39 warga tempatan dan 36 warga asing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Mohd Alwi turut menasihati orang ramai tidak mudah terperdaya dengan panggilan, mesej atau tawaran hebat, sebaliknya disaran menyemak dan membuat pengesahan dengan pihak berkuasa sebelum mengambil sebarang tindakan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Alwi berkata polis sedang mengenal pasti sindiket along yang dipercayai mengupah dua lelaki berusia 20-an, susulan penahanan mereka berhubung insiden kebakaran membabitkan tiga rumah teres di Tasek Gelugor dekat sini pada 24 Jun lepas.

Selain itu, polis giat memburu dua suspek melepaskan tembakan ke arah kereta pacuan empat roda dipandu seorang lelaki di hadapan sekolah rendah di Sungai Nyior, dekat sini pada 1 Julai.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan