KOTA BHARU, 18 Julai (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki disyaki terlibat kes pecah rumah di Jalan Dato’ Lundang dalam beberapa siri tangkapan semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata tangkapan pertama dilakukan pada 12.30 tengah malam oleh anggota dari Balai Polis Kubang Kerian, hasil maklumat diterima daripada orang awam.
Beliau berkata suspek pertama yang ditahan telah membawa kepada penahanan lima lagi individu dalam empat siri tangkapan pada hari yang sama dan kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an.
"Tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis oleh seorang wanita berusia 66 tahun pada 16 Julai lepas berhubung kejadian pecah rumah di kediamannya pada 11 Julai.
“Dalam kejadian itu, pengadu mendapati beberapa barangan telah hilang termasuk sebuah motosikal Honda Dash dengan anggaran kerugian kira-kira RM2,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil penahanan suspek membawa kepada penemuan beberapa barangan yang dilaporkan hilang termasuk enjin air, kusyen kereta dan lampu hadapan kereta.
“Semakan mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah,” katanya.
Mohd Rosdi berkata kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 20 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial