Kawalan Ketat PGA Sempena Lumba Perahu Muhibbah Di Sungai Golok

20/07/2025 12:40 AM

KOTA BHARU, 19 Julai (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) akan memperketat kawalan di pangkalan Pohon Jambu, berhampiran tebing Sungai Golok, berikutan penganjuran pertandingan Lumba Perahu Muhibbah yang berlangsung selama dua hari bermula esok di sempadan Malaysia-Thailand.

Langkah keselamatan itu diambil bagi mencegah sebarang kegiatan rentas sempadan secara haram susulan kehadiran lebih 1,000 pengunjung dari kedua-dua negara ke lokasi acara yang terletak bersebelahan pekan Sungai Golok, Thailand.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya telah mengarahkan PGA untuk meningkatkan kawalan dan pemeriksaan di kawasan terbabit sepanjang acara berlangsung.

“Kita tidak mahu pihak tertentu mengambil kesempatan melakukan aktiviti rentas sempadan secara haram. Kehadiran ramai orang termasuk pelancong dari kedua-dua negara menuntut kita mengetatkan kawalan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Difahamkan, pertandingan perahu tradisional yang dikenali sebagai “Yor Kong” itu membabitkan 40 pasukan bertanding termasuk lima pasukan dari Malaysia. 

Acara tahunan tersebut turut diserikan dengan kehadiran penduduk Kampung Pohon Jambu yang duduk bersama ahli keluarga di sepanjang tebing sungai bagi menyaksikan perlumbaan dan dijangka dirasmikan oleh Gabenor Narathiwat Trakul Thotham.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan