Ibu Dengan Anak Cuba Terjun Jambatan Diselamatkan Orang Awam, Bomba

21/07/2025 02:56 PM

KOTA BHARU, 21 Julai (Bernama) -- Seorang wanita bersama dengan anak lelakinya berusia empat tahun dipercayai cuba terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini malam tadi, berjaya diselamatkan orang awam.

Dalam kejadian pada 11.10 malam itu, tindakan pantas orang awam yang menyedari gelagat mencurigakan wanita terbabit membantu mengelakkan berlakunya tragedi sementara menanti ketibaan anggota bomba untuk memberikan bantuan lanjut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darul Naim Suhaimi Othman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.20 malam dan segera menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata wanita berusia 35 tahun itu dilihat berada di bahagian tepi jambatan bersama-sama anaknya dan dikerumuni orang awam yang cuba menenangkannya.

“Anggota bomba turut mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memujuk dan menenangkan mangsa. Siasatan awal mendapati wanita berkenaan menunggang motosikal jenis Honda Wave dari kediamannya di Panji bersama anak lelakinya sebelum berhenti di atas jambatan itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Suhaimi berkata mangsa memaklumkan dia mengalami masalah kewangan termasuk tunggakan bayaran sewa rumah, dan hanya menggelengkan kepala apabila ditanya lebih lanjut.

Wanita terbabit bersama anaknya kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan