Pembantu Tadbir Didakwa Aib Kehormatan Pelajar Latihan Industri

25/07/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Seorang pembantu tadbir di jabatan kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengaibkan seorang pelajar wanita institusi pengajian tinggi yang sedang menjalani latihan industri, tiga bulan lepas.

Mohamad Aznee Osman, 37, didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa berumur 23 tahun di sebuah pejabat kerajaan di sini pada 1.58 petang, 4 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Insp M Alli Nangai menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun Mohamad Aznee yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan dia menanggung keluarga dan isteri tidak bekerja.

"Saya merupakan kakitangan awam yang memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan. Saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan seorang daripadanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan sekiranya ada aduan, jaminan boleh ditarik balik.

Mahkamah menetapkan 3 Sept ini untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan