Bot Bawa 42 Penumpang Di Pulau Redang Antara Ditahan APMM

21/07/2025 04:18 PM

KUALA TERENGGANU, 21 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan tujuh bot penumpang atas pelbagai kesalahan termasuk membawa penumpang melebihi had dibenarkan, dalam operasi khas dijalankan di perairan Pulau Redang dekat Kuala Nerus, semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata penahanan kesemua bot terbabit hasil pemeriksaan pihaknya terhadap 26 bot penumpang di lokasi itu.

“Antara ditahan ialah sebuah bot membawa hingga 42 penumpang dalam satu perjalanan.

“Hal ini bukan kesalahan kecil, ia kes cuai yang boleh meragut nyawa. APMM tidak akan berkompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kesalahan lain ialah tiada senarai nama penumpang, nama nakhoda tidak seperti tertera dalam lesen dan lesen operasi tamat tempoh. 

Beliau berkata dalam operasi itu 14 kru dan nakhoda berusia 20 hingga 40 tahun disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan telah dikompaun. 

Hamiludin berkata APMM tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang tidak mengutamakan keselamatan termasuk pengusaha bot yang tidak menyediakan jaket keselamatan atau membawa penumpang melebihi kapasiti muatan.

“Orang ramai juga diminta melaporkan sebarang kegiatan berisiko tinggi kepada pihak berkuasa. Keselamatan laut bukan tugas Maritim Malaysia semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama,” katanya sambil menambah pihaknya akan memperhebat operasi penguatkuasaan di kawasan tumpuan pelancong menjelang cuti sekolah dan perayaan bagi memastikan tragedi sebelum ini tidak berulang.

Pada 28 Jun lepas, tiga pelancong tempatan termasuk dua kanak-kanak maut apabila bot dinaiki terbalik di Pulau Perhentian.

Kesemua 15 penumpang berusia tiga hingga 40 tahun yang menaiki bot terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, namun ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan bot terbalik.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu sebelum ini berkata pemandu bot terbabit disahkan positif dadah selain turut mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu dan kesemua penumpang tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan