KUALA TERENGGANU, 22 Julai (Bernama) -- Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah di negeri ini keseluruhannya bernilai RM62.97 juta dari Januari hingga 20 Julai lepas.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata jumlah itu meningkat dengan mendadak berbanding hanya berjumlah RM1.32 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
“Dalam tempoh sama tahun ini (Januari hingga 20 Julai), polis menahan 7,832 individu termasuk mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (2) serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.
"Antara dadah dirampas ialah syabu, heroin, pil yaba, daun ketum, ubat batuk, air ketum, ganja, pil erimin 5 dan pil ekstasi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Timbalan Ketua Polis Terengganu ACP Arsad Kamaruddin, yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu.
Sebanyak 56,232.43 gram dadah dan 2,572.54 liter bahan terlarang itu keseluruhannya bernilai RM1.1 juta yang selesai melalui proses undang-undang dari tempoh 2001 hingga 2025 dilupuskan hari ini selepas mendapat perintah mahkamah.
Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata pihaknya sentiasa memantau penglibatan pempengaruh dan peniaga dalam aktiviti berkaitan dadah.
Bagaimanapun, katanya setakat ini hanya seorang usahawan kosmetik ditahan di negeri ini atas kesalahan dadah iaitu lelaki yang dikenali sebagai “Man Hidung” yang telah dituduh di mahkamah.
"Jangan ingat polis tidak tahu. Kita tahu dan kita pantau. Individu yang menyamar sebagai peniaga kosmetik atau produk kecantikan untuk edar dadah pasti diberkas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial