Pindaan Pada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Satu Perubahan Besar

23/07/2025 12:37 AM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Rang undang-undang untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini ialah pindaan utama yang akan meningkatkan keberkesanan akta berkenaan.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata akta yang diluluskan pada 2010 untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat mempunyai beberapa kelemahan yang menjejaskan keberkesanannya.

"Satu daripada kelemahan utama akta itu ialah pendedahan yang dibuat tidak boleh dilarang oleh mana-mana undang-undang bertulis, ini terdapat dalam proviso Seksyen 6(1) akta berkenaan.

"Justeru, pendedahan yang dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi 1972 sebagai contoh, tidak akan mendapat perlindungan di bawah akta ini.

"Lihat kesalahan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan mengenai 'pendedahan maklumat'. Di bawah seksyen ini, seseorang yang mendedahkan sebarang maklumat atau perkara yang diperoleh semasa melaksanakan tugasnya, atau menjalankan fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis, dianggap melakukan kesalahan," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Misalnya, beliau berkata sekiranya individu mendedahkan salah laku dalam sesebuah kementerian, tetapi maklumat itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi, walaupun individu itu mendedahkannya kepada agensi penguatkuasaan, dia tidak akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

Syahredzan berkata undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan menyebabkan banyak pemberi maklumat dan mereka yang berpotensi memberikan maklumat tidak termasuk dalam perlindungan di bawah akta berkenaan.

"Proviso dalam Seksyen 6(1) akan digugurkan. Dalam kata lain, walaupun salah laku itu terkandung dalam dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi, pemberi maklumat tetap boleh dilindungi," katanya dan menambah beliau turut mengambil bahagian dalam perbahasan RUU itu di Parlimen hari ini.

Beliau berkata sekiranya rang undang-undang ini menjadi undang-undang selepas melalui Dewan Negara dan proses perundangan seterusnya, seorang pemberi maklumat akan tetap dilindungi walaupun pendedahan itu dilarang oleh undang-undang.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan Rang Undang-undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat sebelum diluluskan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan