Daripada Mohd Adli Shahar
ISTANBUL, 26 Julai (Bernama) -- Syarikat Malaysia disaran mengetengahkan produk buatan sendiri ketika menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026 di Kuala Lumpur dalam usaha memperkukuh pembangunan industri pertahanan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hal ini kerana pameran yang dijadualkan berlangsung pada April tahun depan itu merupakan platform penting untuk mempamerkan kemajuan sektor pertahanan dan ketenteraan negara serta ruang menjalin kerjasama antara pelbagai pihak dalam industri berkenaan.
Beliau berkata produk yang diketengahkan itu mungkin terdiri daripada produk yang dibangunkan menerusi teknologi tempatan sendiri atau secara kolaborasi dengan syarikat-syarikat luar.
“Saya mengharapkan penganjuran DSA pada tahun hadapan lebih bermakna dengan dapat mengetengahkan penyertaan syarikat Malaysia yang kini sedang mula bertapak secara aktif dalam industri pertahanan.
“Sebelum ini, banyak syarikat tempatan yang menyertai pameran itu hanyalah sebagai wakil kepada syarikat luar negara. Namun, kita berharap tahun hadapan ia turut disertai oleh syarikat yang membangunkan teknologi secara home grown (tempatan),” katanya kepada pemberita di sini.
Mohamed Khaled berada di Turkiye dalam rangka lawatan rasmi tiga hari di negara itu bagi menghadiri Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025 dan meninjau pembinaan tiga kapal misi pesisir (LMS) kelompok kedua oleh syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM).
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata beberapa majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dengan luar negara telah diadakan semasa beliau menghadiri IDEF 2025 di sini.
Beliau berkata antara MoU berkenaan merangkumi penyelesaian komunikasi satelit, program pembangunan bersama sistem elektronik pertahanan, produk peperangan elektronik dan pengeluaran sistem pesawat udara tanpa pemandu (UAV).
Selain itu katanya, MoU turut melibatkan aspek pemindahan teknologi, pembangunan sistem maklumat ancaman siber dan peluasan pasaran ke rantau Indo-Pasifik.
“Kerjasama strategik seperti ini amat penting dalam memacu kemajuan industri pertahanan negara kerana ia membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran terkini kepada pemain industri tempatan.
“Melaluinya, Malaysia bukan sahaja dapat memperkukuh keupayaan pertahanannya, malah turut berupaya memposisikan diri sebagai pemain yang kompetitif dalam pasaran pertahanan global,” katanya.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial