KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan hari ini berjaya mengeluarkan nama mereka dalam permohonan semakan kehakiman oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mencabar tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan terhadapnya membabitkan lebih RM5 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Anwar atas kapasiti Menteri Kewangan dan kerajaan agar mahkamah membatalkan nama mereka selaku responden dalam semakan kehakiman berkenaan.
Bagaimanapun, hakim itu menolak permohonan Anwar dan kerajaan untuk memadamkan beberapa perenggan dalam afidavit Mukhriz yang menyentuh mengenai kedua-dua responden itu.
Mahkamah menetapkan 16 Dis depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman berkenaan.
Pada 2 Jan lepas, Hakim Amarjeet memberi kebenaran kepada Mukhriz untuk memulakan prosiding semakan kehakiman selepas mendapati terdapat isu yang boleh dibicarakan dalam kes tersebut.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud yang mewakili kedua-dua responden berkata Notis Taksiran Tambahan itu dikeluarkan oleh responden pertama (Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) dan bukan responden kedua dan ketiga (Anwar dan Kerajaan).
"Permohonan semakan kehakiman itu mengaibkan, remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.
Peguam Syed Afiq Syed Albakri yang mewakili Mukhriz pula berkata responden kedua telah mempengaruhi responden pertama untuk membuat keputusan dengan mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan terhadap anak guamnya.
Mukhriz, 60, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Dis tahun lepas dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Anwar dan kerajaan sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama (Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan terhadapnya bagi 2017 hingga 2019 yang menuntut beliau membayar RM5,020,707.18 atas alasan tindakan responden pertama itu menyalahi undang-undang dan tidak munasabah.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.
Bekas Menteri Besar Kedah itu turut memohon deklarasi bahawa responden kedua (Anwar) telah menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan dan memohon deklarasi responden kedua telah menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial