Penolong Pegawai Penguat Kuasa Mengaku Tidak Bersalah Minta Rasuah

24/07/2025 01:48 PM

SEREMBAN, 24 Julai (Bernama) -- Seorang penolong pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah berkaitan kes minyak masak tanpa lesen.

Sahzul Hisam Samsuri, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Hassan.

Dia didakwa secara panggilan telefon dengan seorang lelaki telah meminta wang berjumlah RM8,500 untuk dirinya sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan kes kesalahan membawa minyak masak terpakai tanpa lesen yang sah, di sini pada 11 Sept 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Asmaa' Zamri menawarkan jaminan RM8,000 berserta syarat tambahan, iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Sahzul Hisam yang tidak diwakili peguam memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan telah digantung tugas dan tidak mempunyai pendapatan tetap serta mempunyai enam tanggungan selain masih menerima rawatan di hospital kerana menghidap darah tinggi.

“Pada penghujung Julai lepas juga saya telah dituduh di Mahkamah Shah Alam atas tiga pertuduhan yang sama dengan nilai jaminan untuk kesalahan itu RM9,000, jumlah terkumpul yang saya bawa hari ini hanya RM3,000 sahaja (untuk jaminan),” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan