KUALA KRAI, 24 Julai (Bernama) -- Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis kanabis serta methamphetamine, dua minggu lepas.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Wan Muhamad Aziem Ashraf Wan Mustafa, 31, dan isterinya Wan Matraf Azlinda Wan Mat, 49, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 67,750.4 gram (67.75kg) di tepi jalan Padang Sembilan di sini kira-kira 4 pagi, 11 Julai lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan hingga 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 15.1 gram di lokasi, waktu dan hari yang sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan maksimum sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial