KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Dua lelaki warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM15,000 kepada pegawai imigresen pada Mei lepas.
Kabir Hossain, 51, dan rakannya Akter Hossain, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad dan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Kabir didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah RM15,000 melalui seorang lelaki untuk pegawai imigresen sebagai bayaran memudahkan kemasukan enam warga Bangladesh tanpa melalui prosedur ditetapkan.
Kejadian berlaku di sebuah premis di Jalan Nyonya Off Jalan Changkat TH di saini pada 2.17 petang , 14 Mei tahun ini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Akter yang juga ejen pengambilan pekerja didakwa bersubahat dengan Kabir untuk melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 16(b)(B) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1), dengan hukuman sama.
Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Hanafi Firdhaus menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Nur Aida Zainuddin yang mewakili kedua-dua lelaki itu memohon jaminan rendah kerana Akter mempunyai pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan darah tinggi manakala Kabir menanggung isteri serta seorang anak berumur lima tahun.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Sebutan semula kes pada 29 Ogos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial