SEREMBAN, 29 Julai (Bernama) -- Seorang pekerja kedai serbaneka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik koperasi berjumlah hampir RM200,000.
Noorazwin Zullkifli, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Wanita itu yang bekerja sebagai kerani di Koperasi Kampung LB Johnson Seremban Berhad didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan peranti terminal bayaran milik koperasi itu, untuk memindahkan wang berjumlah RM199,491.79 secara dalam talian ke akaun peribadinya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 2 Feb 2023 dan 22 Mac 2024 di pejabat koperasi itu di Bandar Enstek, Nilai dan pendakwaan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A. Aziz mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Ahmad Muzhaffar Abdul Razak yang mewakili wanita itu memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,800 sebulan dan perlu menanggung tiga anak berusia empat tahun hingga tujuh tahun, selain suaminya berkerja di Kuala Lumpur dan jarang pulang ke rumah.
Hakim Mohamad Kamil Nizam kemudiannya membenarkan wanita itu dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Sept.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial