NIBONG TEBAL, 30 Julai (Bernama) -- Bomba mengambil masa lebih lapan jam memadamkan kebakaran melibatkan tempat simpanan kayu palet di sebuah gudang di Sungai Bakap, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.17 pagi memaklumkan gudang milik sebuah syarikat terbakar.
"Anggota bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap terus ke lokasi dan mendapati kebakaran melibatkan tempat simpanan kayu palet yang berkeluasan 56 meter persegi dan api dapat dikawal pada 5.16 pagi daripada merebak ke kawasan gudang di situ.
"Kebakaran itu turut melibatkan struktur bumbung di gudang terbuka dan pihak bomba menjalankan kerja-kerja fire break bagi mengelak berlakunya kemerebakan yang turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata komander operasi menjalankan size up dengan pemakaian PPE lengkap, malah kerja-kerja pemadaman turut dibantu oleh sebuah jengkaut bagi mengalihkan timbunan kayu palet untuk memudahkan operasi pemadaman secara direct attack.
Kebakaran katanya, telah berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 11.46 pagi dan seterusnya, kerja-kerja overhaul dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain dengan operasi tamat sepenuhnya pada 5.28 petang tadi.
"Tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu, operasi pemadaman melibatkan lebih 50 pegawai dan anggota bomba dari BBP Sungai Bakap, Nibong Tebal, Bandar Perda dan Kepala Batas serta dibantu enam PBS," katanya dan menambah punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial