BALING, 2 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 148,929 laporan polis berkaitan pelbagai isu diterima kontinjen Kedah bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Ketua Polis negeri CP Adzli Abu Shah.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 9,426 laporan mempunyai unsur jenayah dan dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk siasatan serta tindakan lanjut.
“Kes berkaitan jenayah di Kedah menunjukkan penurunan 1,921 laporan atau 16.93 peratus berbanding 11,347 kes dirujuk ke JSJ bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya semasa merasmikan Taman Angkat AMANITA Kontinjen Kedah 2025 di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil dekat sini, hari ini.
Adzli berkata sebanyak 139,614 laporan diterima bagi tempoh sama tahun lepas.
Mengulas lanjut, beliau berkata kes samun berkawan menunjukkan penurunan sebanyak 19.7 peratus iaitu daripada 66 kes pada 2024 kepada 53 kes tahun ini, selain rogol daripada 80 kes kepada 60 kes dan pecah rumah daripada 594 kes kepada 534 kes.
Kes curi motosikal pula menurun daripada 446 kes kepada 348 kes manakala kes curi motokar berkurangan daripada 88 kes kepada 79 kes, katanya.
Selain itu, Adzli berkata polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 berhubung kes kemalangan melibatkan anggota polis dan mangsa seorang remaja lelaki di Yan baru-baru ini.
“Kita masih menjalankan siasatan dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) turut membuka kertas siasatan. Saya juga meminta Ketua Polis Daerah Yan untuk menyegerakan siasatan.
“Semalam kita membuat lawatan kebajikan ke rumah keluarga mangsa. Kita bersimpati dan tidak akan bertolak ansur dengan kecuaian ini,” katanya.
Pada 28 Julai, motosikal ditunggang remaja Muhammad Nur Iman Danish Mohd Roshidi, 16, dirempuh kereta dipandu seorang anggota polis yang didakwa melanggar lampu isyarat di pekan Guar Chempedak, Yan.
Mangsa yang cedera parah meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial