GEORGE TOWN, 4 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki gagal melarikan diri selepas berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal di dalam rumah yang dipecah masuk apabila ditahan oleh penghuni kediaman berkenaan dalam kejadian di Batu Maung di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata siasatan awal mendapati suspek disyaki memasuki rumah berkenaan melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar membuang sampah.
“Suspek telah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pengadu (pemilik rumah), tetapi berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal di rumah berkenaan.
“Pengadu dan rakannya berjaya menangkap suspek dan kemudian menyerahkan suspek kepada pasukan peronda polis (MPV) yang bertugas di Zon 3 Batu Maung,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamina dan benzodiazepina serta mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau esok untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman berdurasi 25 saat yang memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek sedang menuruni tangga dan perakam dipercayai pemilik rumah menyoal tindakan individu terbabit memasuki kediamannya.
Pihak polis mengesan video itu pada 4 petang tadi yang dimuat naik di satu akaun Facebook
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial