Ketua Polis Johor Dan Kapolda Kepri Nyatakan Komitmen Perkukuh Kerjasama Keselamatan Rentas Sempadan

05/08/2025 02:22 PM

JOHOR BAHRU, 5 Ogos (Bernama) -- Kerjasama strategik dalam menangani isu keselamatan maritim, penyeludupan, pemerdagangan manusia, dan ancaman keganasan di perairan Johor-Kepulauan Riau menjadi fokus utama perbincangan dua hala antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kepolisian Negara Republik Indonesia (POLRI) di sini hari ini.

Pertemuan tersebut melibatkan Ketua Polis Johor yang baharu CP Ab Rahaman Arsad, dan Kepala Kepolisian Daerah Kepulauan Riau (Kapolda Kepri), Irjen Pol Asep Safrudin, dalam usaha memperkukuh kerjasama keselamatan rentas sempadan.

“Johor, sebagai negeri sempadan maritim dengan Kepulauan Riau, terus komited memastikan keselamatan rantau ini melalui kerjasama erat antara dua agensi penguatkuasa serantau,” menurut hantaran rasmi Facebook Polis Johor.

Turut hadir dalam pertemuan itu Konsul Polis merangkap Penolong Penguasa Polis dari Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, ASP Riza Sativa, yang berperanan sebagai pegawai penghubung rasmi antara POLRI dan agensi keselamatan Malaysia. 

Semalam, dalam sidang media pertamanya, Ab Rahaman berkata kedudukan strategik negeri Johor yang bersempadan dengan Singapura dan berdekatan Indonesia menjadikannya pintu masuk penting negara, sekali gus memerlukan kesiapsiagaan tinggi daripada seluruh pasukan PDRM.

Beliau menyifatkan kekuatan lebih 10,000 pegawai dan anggota polis di Johor sebagai aset utama dalam mendepani pelbagai cabaran keselamatan semasa, termasuk jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan dadah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan