KUALA TERENGGANU, 5 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM100,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan mata wang asing atau forex tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 28 Mei lepas, mangsa yang berusia 77 tahun telah menyertai pelaburan itu setelah dipujuk kakak kepada kenalan wanitanya yang dikenali melalui Facebook.
Beliau berkata pada minggu pertama, mangsa telah membuat pembayaran modal sebanyak RM3,000 dan diberikan resit palsu sebagai bukti wang berkenaan telah dimasukkan ke akaun forex miliknya.
"Suspek turut menghantar satu tangkap layar WhatsApp yang menunjukkan jumlah keuntungan mangsa. Teruja dengan keuntungan yang besar, mangsa terus membuat tambahan modal pelaburan sebanyak RM69,000.
"Mangsa cuba membuat pengeluaran keuntungan, namun diarahkan supaya membuat bayaran sebanyak RM35,844 kerana keuntungan diperoleh didakwa mengandungi unsur pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa menyedari ditipu setelah diminta membuat pembayaran lain bagi mengeluarkan wang keuntungan pelaburan itu lalu membuat laporan polis.
Kes katanya, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial