KOTA BHARU, 5 Ogos (Bernama) -- Satu mayat wanita warga emas ditemukan dalam keadaan hampir reput di kediamannya di Flat Sri Guchil, Kuala Krai dekat sini petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Mohd Khairul Duha Abdul Halim berkata jasad mangsa dikenali sebagai Halimatun Yusoff, 69, dan tinggal bersendirian, ditemukan pada 2.08 petang di ruang tamu selepas pihaknya membuka pintu yang terkunci.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.04 petang daripada polis yang meminta bantuan pasukan bomba untuk membuka pintu kediaman itu susulan aduan bau busuk.
“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati pintu rumah berkenaan terkunci dan terdapat bau yang tidak menyenangkan.
"Setelah pintu berjaya dibuka, pasukan kami menemukan seorang wanita warga emas yang telah meninggal dunia di ruang tamu dalam keadaan hampir reput,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Khairul Duha berkata operasi itu melibatkan enam anggota bomba dan tamat sepenuhnya pada 2.18 petang.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial