Putrajaya, 5 Ogos – Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan cadangan kerjasama strategik berkaitan kempen kesedaran pencegahan dan pendidikan antirasuah peringkat nasional kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha meluaskan penglibatan dalam kalangan ahli akademik, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa.
Pengerusi PPPR SPRM, Datin Yasmin Ahmad Merican berkata, KPT merupakan kementerian yang dikenal pasti sebagai rakan strategik kepada kempen kesedaran pencegahan rasuah ini kerana kebolehcapaian kelompok sasaran yang luas, merangkumi institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
"Usaha yang ingin kita laksanakan ini sejujurnya memerlukan penglibatan KPT untuk dijayakan kerana generasi Z, Alpha dan Beta yang ketika ini sedang menuntut di institusi pengajian tinggi bakal menerajui kepimpinan, ekonomi serta industri pada masa hadapan," katanya ketika mengetuai sesi pembentangan cadangan kempen tersebut kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Diraja Zambry Abdul Kadir di pejabatnya, di sini hari ini.
Pada dasarnya, pihak KPT menyambut baik cadangan berkenaan dan memberikan komitmen untuk melaksanakannya dalam modul latihan dan pembelajaran sedia ada.
Kempen ini mensasarkan kelompok pelajar berskala besar di institusi pengajian tinggi sebagai agen yang mampu membawa perubahan kepada pencegahan rasuah melalui pembinaan nilai yang akan digerakkan melalui kempen ini nanti.
Datin Yasmin berkata, PPPR selaku entiti bebas yang akan menerajui usaha ini berhasrat agar kempen yang bakal dilaksana ini turut diperluaskan aktivitinya dan dirasai kesannya hingga ke peringkat mahasiswa institusi pengajian tinggi.
PPPR merupakan salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM yang dianggotai oleh wakil masyarakat, aktivis sosial, dewan perniagaan, pakar media dan ahli akademik.
Antara peranan utamanya ialah menasihati SPRM, bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Hj Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Professor Dr Azlinda Azman; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; ahli-ahli PPPR dan Ketua Unit Integriti KPT, PPj Ahmad Humaizie Ramly.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial