SPRM N. Sembilan Tahan Broker Tanah Kemuka Butiran Palsu Bernilai RM3.8 Juta

05/08/2025 04:04 PM

SEREMBAN, 5 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan mereman seorang broker tanah bagi membantu siasatan kes mengemukakan dokumen butir matan palsu bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah berjumlah RM3.8 juta pada September 2022.

Perintah reman tujuh hari itu dikeluarkan oleh Majistret Saiful Sayoti selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini.

Menurut sumber, suspek berusia 40-an itu ditahan kira-kira 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.

"Siasatan awal mendapati suspek disyaki menggunakan suatu dokumen mengandungi butir matan palsu iaitu geran di Mukim Lenggeng daerah Seremban.

"Geran itu atas nama seorang individu lain bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah tersebut yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM3.8 juta," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan