SHAH ALAM, 6 Ogos (Bernama) -- Mayat seorang wanita dan anak perempuannya berusia tiga tahun ditemukan terapung di perairan berdekatan Jeti Pulau Ketam, Klang dekat sini pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Supt Kamalariffin Aman Shah berkata kedua-dua mayat itu ditemukan oleh orang awam kira-kira 7.30 pagi.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di kawasan berdekatan jeti juga menemukan sebuah beg berisi dokumen kedua-dua mangsa.
“Pihak polis dan kakitangan Klinik Kesihatan Pulau Ketam sampai ke lokasi kejadian dan mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.
“Pada masa sama, kelihatan seorang wanita dewasa terapung di kawasan berdekatan jeti, dan setelah wanita berusia 41 tahun itu dibawa naik, pihak klinik kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalariffin berkata hasil pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat.
“Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dan pihak polis membuka satu kertas siasatan mati mengejut untuk siasatan lanjut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta hadir ke balai berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial