KUALA KRAI, 6 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas maut dipercayai dipukul anak kandungnya menggunakan objek tumpul dalam kejadian di Kampung Baru Kuala Gris, Dabong pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 7.30 pagi sebelum sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai dan Balai Polis Dabong dihantar ke lokasi kejadian.
Mangsa Othman Jusoh, 74, ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang dapur dan siasatan awal mendapati mangsa dipukul di bahagian kepala menggunakan objek tumpul sehingga menyebabkan kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Polis berjaya menahan suspek lelaki berumur 39 tahun serta merampas serpihan kerusi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saringan air kencing suspek positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan mendapati dia juga bekas banduan Penjara Satelit Batu Jong, Kuala Krai yang dibebaskan pada awal Julai lepas atas kesalahan dadah.
“Sejak dibebaskan, suspek tinggal bersama mangsa dan ibu kandungnya. Semakan juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, iaitu lima berkaitan kes dadah dan dua kes ugutan jenayah,” katanya.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat manakala suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok bagi permohonan tahanan reman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Nagantheran melalui talian 09-9666222 atau hadir ke Balai Polis Dabong.
Sementara itu, isteri mangsa, Rohana Che Daud, 63, berkata sebelum kejadian, dia sedang bersiap untuk ke surau pada 5.40 pagi manakala suaminya solat di rumah.
“Apabila saya pulang kira-kira 6.30 pagi, saya tergamam melihat anak sulung saya sedang menekan dan menekap kerusi kayu pada leher suami saya yang berada atas sejadah. Suami sudah tidak bergerak dan darah berlumuran di lantai, kerusi yang digunakan patah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Jiran mangsa Tuan Noor Azwanis Tuan Mohamad,38, berkata dia terdengar jeritan meminta tolong sejurus selesai menunaikan solat subuh.
“Sebelum kejadian … saya nampak suspek mundar-mandir di depan rumah sambil bercakap sendirian, kira-kira 4.30 pagi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial