Barang Kes Jenayah Bernilai RM355,292 Dilupus

07/08/2025 12:11 PM

TAIPING, 7 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) melupuskan secara besar-besaran pelbagai barang kes jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM355,292.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata pelupusan itu membabitkan 40 kertas siasatan yang telah selesai bagi tempoh 2011 hingga tahun ini merangkumi kes perjudian, bitcoin, mercun, barang kontraban arak dan rokok serta jenayah am.

Beliau berkata ia dilaksanakan mengikut kaedah dan peraturan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN D207) serta peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 406A dan 407A Kanun Prosedur Jenayah.

"Antara yang dimusnahkan ialah 427 mesin melombong bitcoin yang dirampas dalam operasi sejak 2021 hingga 2023 bernilai RM106,750 melibatkan 10 kes.

"Pelupusan turut membabitkan 10,470 karton rokok pelbagai jenama daripada tujuh kes (2013–2022) dengan nilai RM266,788.45 manakala 130 kotak dan 41 bungkus rokok daripada lapan kes (2012–2024), anggaran nilai RM15,000," katanya dalam sidang media selepas proses tersebut di sini hari ini.

Mohamad Nasir berkata turut dilupuskan 632 tin dan 44 botol arak daripada dua kes (2019–2024) bernilai RM1,753.55 termasuk peralatan perjudian seperti meja, telefon bimbit, mesin judi serta wang tunai RM1,460, daripada lima kes (2017–2025), dianggarkan bernilai RM10,000.

"Pelupusan itu termasuk sampel darah daripada kes seksual melibatkan lapan kes (2011–2019). Semua pelupusan dibuat setelah memperoleh perintah mahkamah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan setiap tindakan adalah sah dari segi undang-undang.

"Langkah ini diambil bagi mengelakkan kesesakan di stor barang kes, mengelak risiko penyalahgunaan serta menjimatkan sumber tenaga dan kewangan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan tersebut juga memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap integriti PDRM serta memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai proses pelupusan barang kes yang dilaksanakan secara profesional.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan