Bapa Didakwa Bunuh Anak Lelaki Umur Enam Tahun

07/08/2025 01:36 PM

JELEBU, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang bapa didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya berusia enam tahun di tepi jalan Kilometer 25 Jalan Rompin, Bahau, bulan lepas.

M. Arunkumar, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut yang bekerja sebagai pemandu e-hailing membunuh kanak-kanak itu antara 9.02 pagi hingga 12.55 tengah hari di tepi jalan Kilometer 25 Jalan Rompin, Bahau pada 23 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan dikenakan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi memohon satu tarikh bagi laporan bedah siasat, kimia, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Mahkamah menetapkan 10 Sept depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Seremban.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu membuat laporan polis pada 24 Julai lepas mendakwa anaknya hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor.

Lelaki terbabit pada awalnya mendakwa kanak-kanak itu hilang kira-kira 4 petang, pada 23 Julai ketika ditinggalkan berseorangan di dalam kereta semasa suspek keluar membeli makanan.

Mayat kanak-kanak itu kemudian dijumpai ditanam di kawasan Rompin, Jempol, kira-kira 4.30 petang, 28 Julai lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan