Suri Rumah Didakwa Bunuh Anak Angkat Usia Tujuh Bulan

07/08/2025 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak angkat perempuannya berusia tujuh bulan, Julai lepas.

Siti Subrina Imran, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim namun tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Wanita itu didakwa membunuh bayi perempuan berkenaan di sebuah unit kondominium di Jalan Sri Permaisuri, Cheras, di sini pada 7 pagi, 30 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 13 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Menurut laporan media pada 31 Julai lepas, pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan berkata pihaknya menerima laporan seorang bayi perempuan maut selepas ditemui dalam keadaan kebiruan dan tidak sedarkan diri serta penuh lebam di badan di kondominium tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan