SHAH ALAM, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki 205 pasport, MyKad kepunyaan tiga lelaki dan satu kad pengenalan palsu.
N. Paarvathy, 41, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa ada dalam milikannya 205 pasport Malaysia.
Dia dituduh mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa memiliki satu kad pengenalan palsu atas nama seorang lelaki berusia 24 tahun serta kad pengenalan milik tiga lelaki berusia 19, 21 serta 31 tahun tanpa alasan yang munasabah.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Taman Puchong Hartamas, Puchong pada 12.10 tengah malam, 11 Julai lepas.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut peraturan 25(1)(o) dan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin berjumlah RM30,000 bagi semua pertuduhan termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam Yogamani M Marappan yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan jaminan pada kadar minimum dengan alasan wanita itu tidak bekerja dan mengharapkan pendapatan suami.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhammad Syafiq membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Sept depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial