Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas Rokok Bernilai Lebih RM2 Juta Di Lahad Datu

07/08/2025 09:21 PM

LAHAD DATU, 7 Ogos (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki dipercayai menyeludup masuk rokok tanpa cukai dari negara jiran bernilai lebih RM2 juta di Batu 8, Jalan Silam di sini, awal pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata lelaki berusia 32 dan 38 tahun itu ditahan bersama dua van yang membawa rokok berkenaan dalam operasi kira-kira 1 pagi.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemukan longgokan plastik hitam yang mengandungi sejumlah besar rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup masuk dari negara jiran, lebih 1.62 juta batang rokok dirampas," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Menurut Mohd Nazri, PPM Wilayah 4 Sabah mengalu-alukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah sekali gus menangani penyeludupan demi kesejahteraan serta keselamatan negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan