Suspek Kes Pecah Amanah Cip Kasino Dipercayai Larikan Diri Ke Luar Negara

08/08/2025 04:29 PM

KUANTAN, 8 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan cip kasino bernilai RM3 juta di Genting Highlands, Bentong dipercayai telah melarikan diri ke luar negara. 

  Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata berdasarkan rekod, lelaki terbabit kini berada di luar negara dan pihaknya akan bekerjasama dengan Interpol bagi mengesan suspek.  

 "Siasatan lanjut masih dijalankan dan kami akan mengesan mana-mana individu yang membuat pertukaran cip berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Yahaya menyaksikan serah terima tugas Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud kepada ACP Ashari Abu Samah yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Alor Gajah. 

Sebelum ini, media melaporkan polis telah menerima laporan daripada seorang pengurus syarikat junket berusia 32 tahun yang memaklumkan bahawa cip kasino berkenaan telah dibawa lari ketika berada di sebuah bilik kasino tertutup di pusat peranginan itu.

Susulan itu, polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pecah amanah berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan