KUANTAN, 8 Ogos (Bernama) -- Seorang pemotong rumput dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang anggota polis menggunakan parang Sabtu lepas.
Majistret Ellyna Othman memerintahkan Muhamad Firdaus Abdul Hamid, 37, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2 Ogos.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Muhammad Shafril Izzwan Ismail, 37, menggunakan sebilah parang panjang dan dua parang pendek di hadapan sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan kira-kira 5.15 petang pada 2 Ogos mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Ahmad Mokhlis memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mohd Azlan Mohd Arish@Arshad memaklumkan anak guamnya masih bujang dan berpendapatan RM70 sehari.
Media sebelum ini melaporkan Mohd Shafril Izzwan diserang oleh seorang lelaki dengan senjata parang sehingga cedera di bahagian belakang badan, dagu serta jari tangan kiri.
Kejadian dilaporkan berlaku semasa sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung kes seorang lelaki mengamuk bersenjatakan parang di rumah terbabit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial