GEORGE TOWN, 8 Ogos (Bernama) --Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang hari ini menyerahkan enam kru kapal warga Indonesia yang hanyut ke perairan negara, kepada wakil Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata semua kru berusia 17 hingga 52 tahun itu diserahkan sebagai menghormati hubungan diplomatik sedia terjalin antara kedua-dua negara.
Katanya mereka ditahan kapal KM Burau dalam operasi penguatkuasaan selepas sebuah vesel nelayan asing (VNA) dikesan berada di perairan Malaysia, bulan lepas.
“Hasil siasatan awal mendapati vesel itu mengalami kerosakan akibat cuaca buruk sebelum dihanyutkan arus ke perairan negara dan diselamatkan oleh KM Burau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia komited memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) demi menyelamatkan nyawa di laut.
Terdahulu, Mohd Hashim bersama Pegawai Memerintah KM Semilang, Leftenan Komander Maritim Mahadi Ismail, menyerahkan kru berkenaan kepada Tentera Nasional Indonesia (TNI), Leftenan Komander Fuad Hilmi, yang mewakili KJRI dalam majlis di Limbongan Batu Maung Sdn Bhd, di sini.
Sementara itu, Fuad mewakili Republik Indonesia merakamkan penghargaan atas kerjasama dan tindakan profesional Maritim Malaysia dalam mengendalikan kejadian berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial