TEL AVIV, 10 Ogos (Bernama-dpa) -- Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Semenanjung Gaza maut selepas dihempap bungkusan bantuan yang digugurkan dari udara ke wilayah itu, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kejadian berlaku berhampiran kawasan pelarian Nuseirat di tengah Gaza. Maklumat itu bagaimanapun tidak dapat disahkan secara bebas.
Selepas berbulan-bulan penghantaran bantuan disekat, Israel sejak akhir bulan lepas membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan melalui guguran udara dalam jumlah terhad dan melalui darat pada skala yang lebih kecil ke Gaza.
Pada Jumaat, pegawai Palestin berkata enam orang, kebanyakannya kanak-kanak, cedera di Bandaraya Gaza apabila sebuah kotak bantuan yang jatuh terkena balkoni, menyebabkan struktur itu runtuh.
Guguran udara itu menjadi isu kontroversi, dengan pengkritik menyifatkannya tidak berkesan dan berbahaya. Menurut kumpulan bantuan, lebih banyak bekalan boleh dihantar dengan selamat menggunakan trak jika Israel membenarkannya.
Namun, penghantaran menggunakan trak juga kurang diyakini keberkesanannya dengan banyak bekalan dirompak – sama ada oleh orang awam mahupun kumpulan bersenjata – sebelum sampai kepada mereka yang paling memerlukan.
Menurut tentera Israel, pada Sabtu pesawat dari Jerman, Belanda, Greece, Itali, Emiriah Arab Bersatu dan Jordan menggugurkan 106 kotak bantuan di Gaza.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial