KUALA NERUS, 10 Ogos (Bernama) -- Seorang peniaga di Batu Enam di sini kerugian lebih RM200,000 apabila kedai ubat tradisional dan homeopati yang diusahakan sejak 31 tahun lepas musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.
Lukman Mamad, 67, berkata kebakaran yang melibatkan tiga kedai dan sebuah rumah itu menyebabkan semua ubat dan peralatan perawatan di dalam premis yang disewanya musnah sama sekali.
“Semalam saya tutup kedai sekitar 6 petang dan balik ke rumah di Losong (di Kuala Terengganu). Pada 11 malam ketika saya menghadiri perjumpaan dengan rakan-rakan, anak menghubungi saya dan beritahu kedai terbakar.
“Saya pun bergegas ke Batu Enam dan lihat api sedang marak. Terdapat juga letupan yang agak kuat kerana premis di sebelah kedai saya adalah kedai dobi layan diri dan mempunyai banyak tong gas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Lukman juga memberitahu pengusaha kedai dobi tersebut merupakan pemilik bangunan kedai yang disewanya itu dan lelaki tersebut tinggal di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus Azmi Omar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada 11.37 malam tadi.
Beliau berkata 28 pegawai dan anggota dari BBP Kuala Nerus, BBP Kuala Terengganu, BBP Jalan Kota dan Balai Bomba Sukarela Sri Nerus telah bergegas ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan deretan tiga kedai separuh kekal. Dalam kejadian tersebut sebuah kedai makan musnah 50 peratus manakala kedai dobi layan diri dan kedai ubat masing-masing musnah 70 peratus.
“Kejadian turut melibatkan sebuah rumah di belakang bangunan kedai tersebut, dengan kemusnahan sebanyak 50 peratus. Oleh kerana bangunan kedai dan rumah adalah separuh kekal iaitu bahagian atas merupakan binaan kayu yang telah lama jadi api cepat marak,” katanya kepada pemberita.
Azmi berkata api berjaya dikawal dalam masa 45 minit dan punca kejadian serta anggaran keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial