AKPS Patahkan Cubaan Seludup 2,500 Liter Diesel Di ICQS Bukit Kayu Hitam

11/08/2025 03:24 PM

ALOR SETAR, 11 Ogos (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2,500 liter diesel menggunakan sebuah treler di Kompleks Kuarantin, Imigresen, Kastam dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Ketua Bahagian Operasi Khas AKPS Bukit Kayu Hitam, Saiful Jefrey berkata kenderaan dari negara jiran itu ditahan dalam pemeriksaan rutin AKPS yang dilakukan sekitar 8.30 pagi hingga 11 pagi. 

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan ruang tangki simpanan yang diubah suai khusus untuk menyembunyikan minyak diesel bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Nilai rampasan diesel dianggarkan RM7,500 manakala treler yang turut dirampas bernilai RM80,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (ubah suai kenderaan bagi tujuan penyeludupan) dan Seksyen 64(1) akta sama (penyitaan kenderaan untuk siasatan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata rampasan itu membuktikan komitmen berterusan AKPS dalam membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan negara, khususnya melibatkan pengubahsuaian kenderaan untuk membawa bahan kawalan.

“Sehingga hari ini, AKPS Bukit Kayu Hitam telah menahan 10 kenderaan pelbagai jenis yang terlibat dalam kes penyeludupan diesel melalui pengubahsuaian tangki dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM957,800,” katanya.

Dalam kes berasingan semalam, Saiful berkata pihaknya telah mengeluarkan tujuh Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap enam warga Thailand dan seorang warga India yang disyaki bukan pelancong tulen.

“Kesemua mereka ditolak masuk mengikut peruntukan Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memenuhi syariat kemasukan sebagai pelawat ke Malaysia. Mereka telah diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama.

“Tindakan penolakan masuk ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pekeliling jabatan yang sedang berkuat kuasa. Tiada rampasan dilakukan dan tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikenalpasti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan