SEREMBAN, 12 Ogos (Bernama) -- Muhammad Amirul Rasyid Mohd Niza yang maut akibat ditikam di hadapan rumahnya di Taman Seri Pagi, Senawang di sini petang semalam baru melangsungkan pertunangan dua minggu lepas.
Perkara itu dikongsikan adiknya, Muhammad Amirul Hakim, 27, yang berkata insiden membabitkan Muhammad Amirul Rasyid, 28, berlaku begitu pantas apabila abangnya tiba-tiba dihampiri seorang lelaki sebelum ditikam di dada.
"Lelaki itu keluar dari kereta kemudian menghampiri abang dan terus menikam di dada, saya tidak perasan dia membawa pisau dan tiada pergelutan berlaku.
"Setelah itu, saya jerit panggil ayah. Akibat tikaman itu, darah berlumuran keluar, abang meninggal dunia di pangkuan saya dan menyebut Allah beberapa kali. Kami tidak mengenali suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata penduduk di kawasan perumahan itu turut keluar membantu ayahnya dengan memegang serta mengikat suspek yang cuba melarikan diri.
Muhammad Amirul berkata sebelum kejadian abangnya, anak sulung daripada 12 beradik yang juga seorang bapa tunggal sempat membawa anak perempuan berusia lima tahun bersiar-siar pada petang itu.
Media hari ini melaporkan seorang lelaki berusia 28 tahun maut akibat ditikam di dada dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Seri Pagi, Senawang petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata siasatan awal mendapati kejadian pada 6.50 petang itu berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
Mohamad Hatta berkata suspek berusia 31 ditahan di lokasi kejadian dengan bantuan penduduk taman perumahan berkenaan serta merampas sebilah pisau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial