Lelaki Berusia 28 Tahun Maut Ditikam Di Depan Rumah Di Senawang

12/08/2025 11:07 PM

SEREMBAN, 12 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 28 tahun maut akibat ditikam di dada dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Seri Pagi, Senawang di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata siasatan awal mendapati kejadian pada 6.50 petang itu berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.

"Suspek menikam dada mangsa menggunakan pisau hingga menyebabkan kematian. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada 7.28 malam oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Hatta berkata suspek berusia 31 ditahan di lokasi kejadian dengan bantuan penduduk taman perumahan tersebut serta merampas sebilah pisau.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan, suspek direman bermula hari ini hingga 18 Ogos. 

Dalam pada itu seorang jiran berusia 66 tahun di kawasan perumahan itu berkata dia terdengar jeritan bapa mangsa lalu bergegas keluar untuk melihat kejadian.

"Saya lihat mangsa berlumuran darah, jiran juga ramai keluar...saya bersama penduduk membantu mengikat suspek dengan tali supaya dia tidak melarikan diri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan