GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan di kawasan kedai perkakasan di Kepala Batas esok, yang sebelum ini tular di media sosial kerana mengibarkan Jalur Gemilang terbalik.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata ia bertujuan bagi menjamin keselamatan penduduk setempat dan ketenteraman awam.
“Pihak polis menggesa semua pihak bersabar menunggu keputusan pejabat Pendakwa Raya (berhubung arahan selanjutnya siasatan kes itu) dan tidak mengambil tindakan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk ketegangan.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau melakukan pecah keamanan, kekacauan, huru-hara atau jenayah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini tular di media sosial mengenai jemputan untuk orang ramai menyertai perhimpunan berkenaan.
Sementara itu, Azizee berkata sebanyak 38 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan kes berkenaan selain siasatan turut dijalankan ke atas individu yang merakam dan menyebarkan video itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam, pemilik kedai perkakasan itu Pang Chin Tian, 59, yang tular mengibar Jalur Gemilang terbalik berkata beliau bersedia menerima sebarang tindakan perundangan yang akan dikenakan terhadapnya.
Beliau mengakui kesilapan terbabit tidak disengajakan dan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku pada Sabtu lepas serta berjanji akan lebih berhati-hati dalam pemasangan Jalur Gemilang selepas ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial