Sindiket Seludup: 10 Individu Direman Termasuk Lima Pegawai Kanan ATM

14/08/2025 07:35 PM

PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan sebuah portal berita, dipercayai terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.

SPRM memaklumkan turut direman ialah seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan seorang wanita warga asing.

Menurut kenyataan SPRM, empat lelaki direman tujuh hari sehingga 20 Ogos, dua lelaki dan seorang wanita direman dua hari sehingga 18 Ogos, manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman tiga hari sehingga 15 Ogos.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan SPRM pagi tadi.

Menurut sumber, semua suspek berusia 30 hingga 55 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang semalam menerusi Op Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pegawai perisikan tentera itu dipercayai membocorkan maklumat operasi kepada sindiket bagi mengelakkan tindakan pihak berkuasa. Barang seludup termasuk dadah, rokok dan barangan lain dari negara jiran dianggarkan bernilai RM5 juta sebulan,” kata sumber.

Sumber juga memaklumkan hasil risikan selama 12 bulan turut mendedahkan sindiket membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai terbabit bagi setiap kemasukan barangan.

Dalam operasi pada Rabu itu, SPRM turut merampas wang tunai melebihi RM63,000, beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata api tiruan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin  ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut jenayah rasuah serta penggubahan wang haram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan