MELAKA, 14 Ogos (Bernama) -- Polis menahan empat individu termasuk dua warga asing kerana disyaki terlibat dalam sindiket mencuri susu formula dan serbuk kopi di beberapa pasar mini di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata suspek yang terdiri daripada seorang wanita berusia 50 tahun dan tiga lelaki berusia 23 hingga 33 tahun diberkas di sebuah kondominium yang disewa di Kuala Lumpur kira-kira 12.05 tengah malam, 10 Ogos lepas.
Beliau berkata penahanan dua lelaki tempatan selain masing-masing seorang lelaki dan wanita warga Filipina itu hasil risikan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
"Penahanan itu susulan dua laporan polis pada 2 Ogos berhubung kejadian curi di dua premis pasar mini di Taman Paya Emas dan Bandar Baru Sungai Udang, dekat sini," katanya pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.
Christopher berkata pemeriksaan lanjut menemukan 72 kotak susu formula, 15 peket susu formula, 12 tin susu kesihatan dan 22 peket minuman kopi di kondominium terbabit serta dalam sebuah kereta melibatkan nilai keseluruhan RM12,600.
Beliau berkata turut dirampas dalam serbuan itu ialah sebuah kereta, empat telefon bimbit, pakaian, topi dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
"Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pelanggan iaitu suspek wanita akan menyembunyikan susu formula di dalam baju dan seluar, manakala dua lelaki mengawal lorong kiri dan kanan rak barangan, sementara seorang lagi menunggu di luar premis.
"Siasatan mendapati sindiket itu telah aktif sejak 2011 dan dalam tempoh seminggu sebelum ditahan, mereka dipercayai terlibat dalam 12 kejadian curi di premis sekitar tiga negeri berkenaan," katanya dan memaklumkan kesemua suspek direman mulai 10 hingga 15 Ogos untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial