GEORGE TOWN, 15 Ogos (Bernama) -- Lima warga Iran termasuk dua wanita dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan berasingan membabitkan kesalahan mencuri, dadah dan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadap warga asing berumur 19 hingga 33 tahun itu tidak dibacakan kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris.
Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin, Nadratun Naim Mohd Saidi dan Muhammad Amzar Ismail kemudian menetapkan 10 Sept ini untuk sebutan kes bagi membolehkan jurubahasa yang fasih berbahasa Parsi hadir ke mahkamah, dan tidak membenarkan ikat jamin terhadap semua tertuduh.
Peguam R. Thandayuthabany Pillay yang mewakili kesemua tertuduh memaklumkan mereka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
“Terdapat keperluan untuk jurubahasa Parsi hadir supaya pertuduhan dapat dibacakan kepada mereka,” katanya ketika prosiding.
Timbalan Pendakwa Raya di ketiga-tiga mahkamah berkenaan, Lau Shavin, Ahmad Danial Amir Saad dan Syairah Aqilah Khalil, memohon supaya kesemua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dengan alasan mereka ialah warga asing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial