Bicara Bela Diri Kes Rasuah Bung Moktar, Isteri Tangguh Ke 2 Sept  

18/08/2025 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan prosiding perbicaraan membela diri Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, yang sepatutnya bermula hari ini kepada 2 Sept depan.

Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette berikutan peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mengendalikan perbicaraan kes tidak sihat.

"Datuk Kumaraendran tidak sihat kerana ada cecair dalam peparu beliau serta beliau masih dalam rawatan yang mempunyai kesan sampingan dalam tempoh ini. Saya mohon supaya penangguhan dibenarkan," kata Teh yang mengendalikan kes pasangan itu bersama peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan pada esok dan Rabu (20 Ogos).

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berkata pihak pendakwaan membantah permohonan berkenaan dan bersedia untuk meneruskan perbicaraan bela diri pasangan suami isteri itu.

"Sekiranya keadaan kesihatan peguam Kumaraendran masih dalam keadaan sama iaitu tidak sihat, tertuduh pertama (Bung Moktar) boleh memberi keterangan pada 2 Sept nanti," kata Law.

Pada 22 Mei lepas, Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette gagal untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan.

Mahkamah Rayuan pada 18 Nov 2024 memerintahkan pasangan suami isteri itu membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Sept 2023.

Pada 2 Sept 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan