NIBONG TEBAL, 18 Ogos (Bernama) -- Polis hari ini menahan seorang lagi pemandu lori ‘tipper’ yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara melulu sehingga hampir merempuh anggota polis dalam kejadian di kawasan Plaza Tol Jawi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan di kawasan Padang Serai, Kedah dan hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah amphetamine serta methamphetamine.
“Dalam kejadian itu, sebuah lori dipandu secara berbahaya dan hampir merempuh anggota polis, melanggar palang tol serta isyarat lampu merah sebelum berjaya dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jay berkata kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, beliau memaklumkan polis yang menjalankan Op Bersepadu dan Op Samseng Jalanan telah menahan seorang daripada dua pemandu lori ‘tipper’ yang terlibat dalam kejadian itu.
Lori berkenaan melanggar lampu isyarat merah di Bukit Panchor dan hampir merempuh anggota polis yang bertugas, malah pemandu lori itu turut memandu secara berbahaya sehingga ke Jalan Transkrian sebelum ditahan dengan bantuan kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal polis di Jalan Sungai Duan, Kampung Ladang Kalidonia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial