JERTIH, 18 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan 18 bot penumpang termasuk sebuah vesel nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan menerusi Op Patuh di sekitar perairan Pulau Perhentian di sini.
Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata operasi khas yang bermula 15 Ogos hingga semalam membabitkan 60 pegawai dan anggota bersama lima aset laut milik Maritim Malaysia.
“Kesemua bot terbabit ditahan atas pelbagai kesalahan serius antaranya membawa penumpang melebihi had, tiada insuran, beroperasi tanpa lesen yang sah, melanggar syarat lesen, menggunakan bot nelayan dan bot kargo untuk membawa penumpang, tiada perakuan kompetensi nakhoda serta tidak menyediakan peralatan keselamatan nyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamiludin berkata susulan itu, pihaknya menahan 32 individu berusia 20 hingga 50 tahun termasuk tekong vesel nelayan dan pemandu bot penumpang.
Beliau berkata kesemua mereka dikenakan kompaun serta denda keseluruhan sebanyak RM416,000 dan semua bot yang ditahan telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Besut untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Perikanan 1985.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan perbuatan yang mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mempertaruhkan nyawa penumpang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial