SHAH ALAM, 20 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Selangor menahan dan menyiasat 3,367 warga asing menerusi beberapa siri operasi bermula awal tahun sehingga Julai lepas.
Pengarahnya Khairrul Aminus Kamaruddin berkata daripada jumlah itu 1,030 telah diusir ke negara asal, manakala 888 didakwa di mahkamah dengan 315 dikompaun atas pelbagai kesalahan, dan 1,134 dibebaskan selepas siasatan.
"Berdasarkan pecahan tangkapan mengikut daerah, Petaling mencatat bilangan tangkapan tertinggi iaitu 2,208 orang diikuti Klang 625 orang, masing-masing menerusi 283 dan 66 siri operasi yang dijalankan," katanya semasa sesi libat urus media bersama Ketua Pengarah JIM Selangor di sini, semalam.
Beliau berkata warga Myanmar mendominasi Depot Imigresen Semenyih dengan 655 orang diikuti Indonesia (123), Bangladesh (98), India (35), Pakistan (20) dan lain-lain (46).
Daripada aspek pendakwaan, Khairrul Aminus berkata sejumlah 839 kes telah dibicarakan dengan kesalahan tinggal lebih masa merupakan kesalahan tertinggi iaitu 422, diikuti masuk dan tinggal di negara ini tanpa passport atau pas yang sah 384 kes, dengan kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Beliau seterusnya menggesa orang ramai terutamanya penduduk di Selangor untuk berkongsi sebarang maklumat dengan pihak Imigresen Selangor bagi mengawal jumlah warga asing di negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial