SHAH ALAM, 20 Ogos (Bernama) -- Seorang bekas guru swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi palsu berhubung kes mengaibkan Perdana Menteri.
S. Chandrasegaran, 46, didakwa atas pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi TikTok dengan secara sedar, membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menganiaya orang lain pada 1.36 petang, 30 Dis 2024.
Hantaran tersebut kemudiannya telah dilihat dan didengar pada 6.30 petang, hari sama di sebuah restoran di Bandar Sunway, Petaling dekat sini.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya serta boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal mencadangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM30,000 beserta syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta larangan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.
Peguam Muhammad Nor Tamrin memohon jumlah ikat jamin pada kadar yang berpatutan, mengambil kira tertuduh kini tidak mempunyai pendapatan yang tetap selepas disahkan hilang upaya kekal dan mengidap kanser tekak.
“Dia juga perlu menyara seorang isteri dan dua anak serta tidak ada risiko untuk melarikan diri,” katanya.
Hakim Norazlin Othman membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, serta membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Okt ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial