KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan kegiatan penyeludupan tembakau, rokok dan cerut dalam serbuan di 14 lokasi sekitar Lembah Klang dan Johor, semalam.
Menurut sumber, serbuan dijalankan di premis perniagaan dan pemilik syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan tembakau, cerut dan pembekal minuman keras.
Kegiatan terbabit menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai lebih RM250 juta sejak 2020 hingga 2024.
"Hasil serbuan, SPRM telah membekukan akaun perbankan persendirian dan akaun syarikat yang melibatkan nilai kira-kira RM218 juta.
"Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut menggantung lesen import beberapa syarikat yang dikenal pasti terlibat dengan kegiatan berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," menurut sumber dalam kenyataan hari ini.
Serbuan dijalankan menerusi operasi bersepadu, iaitu Op Sikaro diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan JKDM.
Sindiket terbabit dipercayai turut melibatkan pegawai agensi penguat kuasa dan siasatan akan menumpukan kepada usaha mengesan serta menyita aset-aset mereka yang terlibat melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan serbuan itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Beliau berkata SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial