Pengasuh Taska Didakwa Tidak Buat Pengawasan Sepatutnya Sehingga Bayi Maut

22/08/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Seorang pengasuh taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan tidak membuat pengawasan dan pemeliharaan yang wajar sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki pada Mei lepas.

Nor Fatihah Abdul Rahim, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan, wanita itu sebagai pengasuh didakwa gagal mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berumur tujuh bulan sembilan hari, di sebuah taska di Wangsa Maju, pada 11.08 pagi, 26 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33 (1) (a) Αkta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selesai prosiding, Nor Fatihah yang berada di kandang tertuduh dilihat menangis teresak-esak sambil ditenangkan oleh ahli keluarganya sebelum digari untuk dibawa ke lokap mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, selain bersifat serius kerana membabitkan kematian bayi dan bimbang tertuduh melarikan diri.

"Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya mohon jaminan RM30,000 ke atas berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport sekiranya ada dan tidak mengganggu saksi pendakwaan," katanya.

Nor Fatihah yang tidak diwakili peguam merayu jaminan direndahkan kerana bukan daripada keluarga berada serta menanggung ibu, adik dan bapa kandungnya yang mempunyai penyakit saraf, selain bakal berkahwin pada hujung tahun ini.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Sept ini.

Pada 28 Mei, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Syahrul Anuar Abdul Wahab dilaporkan berkata berdasarkan bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur, bayi lelaki itu disahkan meninggal dunia disebabkan sesak nafas (aspnyxia) akibat tersedak makanan dan susu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan