Halang Urus Aset Di Jersey: Permohonan Na'imah Jadi Pencelah Didengar 31 Okt

22/08/2025 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 31 Okt bagi mendengar dan memutuskan permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk menjadi pencelah dalam permohonan yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM selaku pendakwa raya memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) untuk menghalang balu Tun Daim Zainuddin itu atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan aset luar pesisir berjumlah USD157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan GBP85 juta (kira-kira RM4.9 bilion) yang terletak di Jersey, sebuah wilayah naungan Mahkota British.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan selaku responden telah memfailkan afidavit balasan pada 30 Julai lepas. 

"Kami juga telah menerima afidavit jawapan daripada pemohon (Na'imah) dan kami juga tiada halangan untuk mendengar permohonan pemohon," kata Mahadi yang mengendalikan kes bersama Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal semasa prosiding pengurusan kes hari ini.

Na'imah diwakili peguam Nurul Najwa Zainuddin.

Pada 25 Jun lepas, SPRM memfailkan permohonan ex-parte itu mendakwa aset berkenaan diperoleh Na’imah atau individu yang mempunyai kaitan dengan beliau di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.

Ini merupakan permohonan ketiga difailkan pihak pendakwaan selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom dan Singapura.

Pada 22 Mei lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mendedahkan bahawa lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Daim, keluarganya dan proksi.

Azam berkata maklumat terkini menunjukkan aset terbabit tidak diisytiharkan semasa siasatan SPRM pada 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan