Amang Seksual Anak Tiri: Tempoh Penjara Tukang Kimpal Dikurangkan

21/08/2025 07:20 PM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini memendekkan hukuman penjara seorang tukang kimpal daripada 24 tahun ke 16 tahun bagi empat kesalahan amang seksual terhadap anak tirinya.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah membenarkan rayuan dikemukakan lelaki berusia 57 tahun itu dengan mengurangkan hukuman penjara daripada enam tahun kepada empat tahun bagi setiap pertuduhan.

Azman, yang bersidang bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin, turut mengarahkan hukuman dijalankan secara berasingan bermula pada tarikh lelaki itu ditahan iaitu 21 Mac, 2022.

Beliau berkata mahkamah mengakui keseriusan kesalahan yang dilakukan perayu bagaimanapun katanya, mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa hukuman penjara 24 tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen terlalu membebankan dan prinsip keseluruhan perlu diambil kira. 

Lelaki itu pada mulanya dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada April 2022 selepas mengaku bersalah terhadap empat kesalahan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada masa kesalahan dilakukan. Mangsa kini berusia 15 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di daerah Padang Besar di Perlis beberapa kali iaitu pada Julai  2021, awal Dis 2021 dan hujung Dis 2021 serta 5 Mac 2022.

Tertuduh dan pihak pendakwaan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi bagi mencabar hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen itu namun pada Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengetepikan kedua-dua rayuan.

Pada prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, peguam perayu Mohamad Zaidan Daud menggesa mahkamah mempertimbangkan umur anak guamnya, menyatakan bahawa tempoh pemenjaraan yang panjang akan mempunyai 'crushing effect' atau terlalu membebankan. Beliau turut memohon keempat-empat hukuman berjalan serentak iaitu anak guamnya hanya perlu menjalani enam tahun penjara.

Beliau berkata bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, tempoh pemenjaraan maksimum ialah 20 tahun justeru hujah beliau, hukuman 24 tahun itu melangkaui had yang dinyatakan di bawah undang-undang berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim mempersoalkan mengenai menjalani hukuman serentak, menekankan bahawa kesalahan itu ialah kejadian berasingan yang berlaku pada tarikh berbeza dan memerlukan hukuman berturut-turut. 

Beliau seterusnya berhujah bahawa hukuman yang lebih berat sepatutnya dikenakan ke atas lelaki itu kerana kesalahan yang dilakukannya adalah menjijikkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan